4 MEI : Semua premis yang mempunyai risiko penularan wabak COVID-19 akan disenarai dalam sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bermula 7 Mei ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan berbuat demikian bagi membolehkan premis perniagaan itu diletakkan sebagai lokasi amaran atau ‘hotspot’ terhadap kemungkinan pembentukan kluster yang besar.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata langkah berkenaan membolehkan pemilik premis dan orang ramai ambil tindakan sewajarnya apabila berada di premis terbabit.
“Tindakan perlu dilaksanakan pemilik premis termasuk melakukan ujian saringan terhadap pekerja, memantau aktiviti keluar masuk yang lebih ketat dan mewajibkan imbasan kod QR My Sejahtera.
“Analisis HIDE dibuat bersandarkan beberapa pemboleh ubah seperti rekod kes positif yang pernah mengunjungi premis, tempoh lawatan, luas kawasan dan kualiti pengaliran udara,” katanya pada sidang media sempena pelancara sistem HIDE di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata analisis lanjut akan dilakukan sebelum sesuatu kawasan, bangunan atau premis diisytiharkan mempunyai potensi menjadi pusat penyebaran.
Beliau berkata ketelusan yang lebih jelas kepada rakyat ini diharap berupaya dijadikan sandaran untuk mereka membuat keputusan dan mengamalkan kawalan kendiri.
“HIDE berbeza dengan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi pengesanan kluster kerana ia dibuat berteraskan sejarah atau rekod jangkitan sahaja.
“Bagaimanapun, HIDE menggunakan teknologi canggih untuk membuat ramalan supaya satu tindakan awal berbentuk pencegahan yang lebih bersasar dapat dilakukan.
“Ia bagi mengelak berlaku kluster besar dan mengundang risiko penularan yang lebih meruncing, sehingga berada di luar kawalan memandangkan pelbagai varian mutasi direkodkan di Malaysia,” katanya.