4 MEI: Kerajaan akan membuat bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 2 kepada 8.4 juta penerima membabitkan peruntukan RM2.75 bilion mulai 7 hingga 12 Mei ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bayaran Fasa 2 BPR merangkumi 3.6 juta isi rumah, 1.0 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.
“Peningkatan peruntukan adalah berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima.
“Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan
penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Fasa 1, pembayaran BPR berjumlah RM1.93 bilion telah pun dibayar kepada 8.4 juta penerima dari 24 Februari sehingga 1 April 2021.
Tengku Zafrul berkata semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei 2021 melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my.
Beliau berkata bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini.
“Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan kepada hampir 8.4 juta penerima BPR adalah sebanyak RM4.68 bilion berdasarkan pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2.
Katanya, sebelum ini kerajaan telah memberi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40 yang telah dibayar mulai 21 Jan lalu.
“Oleh itu, setakat Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung Kerajaan (merangkumi BPN2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2) yang telah dan akan disalurkan bagi golongan B40 adalah bernilai RM6.59 bilion.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.