4 MEI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, menegaskan tindakan ahli politik melompat parti tidak menjadi satu kesalahan rasuah di negara ini kecuali melibatkan pembayaran wang oleh pihak tertentu.
Azam berkata mana-mana pemimpin dan ahli politik bebas melompat parti mengikut pendirian mereka berikutan tiada undang-undang yang melarang mereka daripada berbuat demikian.
“(Lagipun) Akta Anti Lompat Parti tidak wujud lagi, jadi sebab itu saya tidak mahu komen sangat. Ini bukan satu kesalahan dan terdapat juga mereka keluar parti jadi hebat, itu bukan satu kesalahan di negara kita,” katanya dalam sidang media Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menggesa SPRM untuk menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik bertindak melompat parti bagi mendapatkan habuan.
Abdul Hamid mendakwa terdapat rasuah berlaku dalam politik termasuk amalan ‘membeli’ pemimpin lain serta mengugut individu yang enggan ‘dibeli’.
Bagaimanapun, Azam berkata SPRM, akan menyiasat sekiranya wujud amalan rasuah susulan tindakan ahli politik melompat parti.
“Kalau mereka yang kita siasat kebanyakan mereka yang meraih sokongan dan dikatakan membayar wang, itu kita siasat dibawah Akta Pilihan Raya, macam kes Ahli Parlimen Sekijang (PKR), Natrah Ismail baru-baru ini pun kita dah siasat dan tiada kes.
“Tidak ada pembayaraan yang dikatakan bernilai RM10 juta seperti disebut-sebut banyak pihak,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus memantau pembabitan jabatan kerajaan yang disyaki terlibat memonopoli kartel projek kerajaan, menerusi maklumat yang diperolehi.
Menurutnya, pemantauan menerusi kerjasama Kementerian Kewangan itu, akan membuat penelitian ke atas sebarang proses perolehan dibuat jabatan-jabatan berkenaan.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut Azam berkata, sebarang penemuan penglibatan jabatan lain akan dimaklumkan suruhanjaya itu kemudian.
“Setakat ini, tiada penemuan kerana pemantauan sedang dijalankan dan kami memandang serius kes monopoli kartel projek dan cara untuk mengatasinya,” ujarnya.