4 MEI: Semua itu palsu. Itu reaksi Adun Gombak Setia Muhamad Hilman Idham susulan tular kononnya surat beliau kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung video seorang lelaki bersama wanita di sebuah hotel.
Beliau menjelaskan, kepala surat bertarikh 3 Mei itu pun tidak betul kerana tertulis jawatan beliau Setiausaha Politik Kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Hilman adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kanan Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamad Azmin Ali
“Kepala surat pun masih Kementerian Ekonomi. Not MITI,” katanya kepada PNBBC Portal.
Menurut Hilman, beliau tidak mahu melayan perkara seperti itu tambahan pula di bulan Ramadan ini.
Terdahulu, beberapa hari lalu tular video berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) lelaki dikatakan mirip beliau berpeluk dengan seorang wanita di sebuah hotel.
Susulan itu, tular satu surat kononnya daripada Hilman kepada Perdana Menteri untuk menjelaskan bahawa video yang tular itu adalah fitnah terhadapnya serta untuk menjatuhkan kredibilitinya dan Perikatan Nasional (PN).