4 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu arahan seterusnya daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Jabatan Peguam Negara berhubung kes salah guna kuasa dalam syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan kes terbabit kepada TPR dua minggu lalu, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima untuk tindakan lanjut.
Azam berkata SPRM sudah selesai menjalankan siasatan salah guna kuasa membabitkan pemberian kontrak kepada ahli keluarga sendiri dalam Prasarana mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.
“Kes itu telah selesai melibatkan seorang tertentu dan telah kemuka kepada Pejabat AG (Peguam Negara).
“Saya hanya menunggu keputusan dari Pejabat Peguam Negara kiranya ada pihak yang boleh dituduh atau tidak selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) & SPRM di Auditorium JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Azam berkata diminta mengulas perkembangan terkini siasatan di Prasarana selepas agensi tersebut hadir mengambil maklumat di ibu pejabat syarikat tersebut pada awal tahun ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata siasatan kes berkenaan dibuat bukan hanya dibuat berdasarkan laporan media semata-mata, malah ada laporan dibuat oleh orang awam dan siasatanya sudah dilengkapkan dua minggu lalu.
“Kes ini bukan daripada laporan media tetapi laporan dari orang orang ramai. Saksi telah dipanggil untuk kita kumpul keterangan. Kertas keterangan siap dua minggu lepas,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan SPRM menyerbu ibu pejabat Prasarana bagi menyiasat dakwaan berhubung salah guna kuasa dalam syarikat tersebut.
Portal itu melaporkan individu terbabit menggunakan kuasanya untuk mengubah beberapa perkara dalam syarikat itu yang menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan dan hala tuju syarikat berkenaan.