4 MEI: Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berpandangan, bahawa Tun Mahathir Mohamad sebagai rakyat Malaysia dan seorang figura politik berhak untuk terus bertanding di dalam PRU akan datang, namun secara peribadi beliau merasakan bahawa sudah tiba masanya mantan Perdana Menteri itu berundur daripada terus menjadi calon.
Bagaimanapun, beliau yakin sebagai seorang figura politik yang begitu dominan di negara ini, sudah pastinya Mahathir tidak akan berundur dan ingin terus kekal relevan dipersada politik tanahair.
“Saya fikir, Mahathir sebetulnya tidak perlulah lagi menjadi calon, bahkan sebaiknya beliau melahirkan generasi baru ahli politik khususnya melahirkan calon-calon muda untuk digilap sebagai wakil rakyat.
“Namun sukar juga untuk dinafikan kerelevanan beliau memandangkan legasi Mahathirisme dicetuskan oleh beliau masih utuh. Perkara ini terpulang kepada beliau sendiri. Dan jika beliau memilih untuk terus menjadi caloin dan bertanding dalam PRU akan datang, maka itu adalah hak beliau sebagai seorang rakyat Malaysia lebih-lebih lagi beliau memiliki pengaruh dan pengalaman,” katanya kepada PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, Mahathir mendedahkan beliau akan bertanding pada PRU-15 kerana dipaksa oleh para pendokongnya khususnya ahli parti Pejuang yang kononnya tidak bersetuju dan akan marah jika beliau membuat keputusan tidak bertanding.
Dalam pada itu, Muhammad Ariff berpandangan Mahathir bertanding pada PRU-15 bukanlah kerana desakan daripada pendokongnya namun hanya mahu membuktikan beliau masih relevan dalam politik Malaysia.
“Tentang ini, saya tidak fikir ianya adalah desakan pendokong beliau, malahan saya berpendapat itu adalah keinginan politik beliau sendiri. Umum kita tahu, figura ini walaupun sudah lanjut usia namun masih memiliki pengaruh dan legasi.
“22 tahun pemerintahan beliau dicampur dengan 22 bulan sewaktu menjadi Perdana Menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), pastinya beliau tidak mahu legasinya berakhir.
“Saya melihat bawa Mahathir mempunyai keinginan untuk membuktikan bahawa dia masih relevan dalam politik Malaysia. Jadi, dengan mengambil bahagian dalam PRU-15 itu adalah salah satu cara membuktikan beliau masih mempunyai sokongan walaupun sudah ramai penyokong politik mula mempersoalkan kerelevanan beliau dalam lapangan politik Malaysia,”katanya.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH