4 MEI: Aktiviti ziarah sempena Aidilfitri dibenarkan pada hari raya pertama sahaja di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kapasiti tetamu tidak melebihi 15 orang.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ziarah hari raya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dibenarkan selama tiga hari bermula 1 Syawal.
Katanya, kebenaran di kawasan PKPB dan PKPP itu, masing-masing membabitkan kapasiti seramai 20 orang serta 25 orang dengan mengikut saiz rumah.
“Kesemua kebenaran ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, termasuk mengutamakan penjarakan fizikal.
“Manakala bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kerajaan tidak membenarkan penduduk di kawasan itu menerima tetamu dari luar, sebaliknya meraikan hari raya bersama keluarga di dalam rumah sahaja,” katanya pada sidang media khas COVID-19, hari ini.
Ismail Sabri berkata, dalam memastikan penularan adalah terkawal, tuan rumah digalakkan menyediakan pengimbas suhu badan dan Kod QR atau menyediakan buku bagi mencatat nama serta nombor telefon.
Usaha itu, katanya, penting magi memastikan keselamatan tuan rumah terjamin dan memudahkan pengesanan kontak tetamu dibuat sekiranya terdapat kes positif.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, aktiviti ziarah ke tanah perkuburan, hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat had tidak melebihi 6 orang bagi satu lot atau petak kubur serta kurang 30 minit.
“Penganjuran rumah terbuka di seluruh negara tidak dibenarkan pada tahun ini,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN