6 MEI: Hujan lebat dan ribut yang melanda petang tadi menyebabkan sekurang-kurangnya 14 kes pokok tumbang di beberapa kawasan di ibu negara.
Antara kawasan yang terjejas ialah Taman Bukit Cheras, Sentul, Danau Kota, Gombak Setia, Setapak dan Titiwangsa.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 5.20 petang dan menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
“Hasil maklumat diterima mendapati terdapat 14 kes pokok tumbang berlaku di sekitar ibu kota.
“Setakat ini, tiada mangsa yang dilaporkan terbabit dalam semua kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, operasi memotong dan pengalihan pokok yang tumbang sedang dijalankan.
“Operasi pemotongan dilakukan menggunakan gergaji, manakala jentera berat digunakan untuk mengalihkan batang dan dahan pokok yang sudah dipotong itu dari kawasan jalan raya dan jalan kampung ke tempat lebih selamat,” katanya.