6 MEI : Ketetapan baharu bagi bilangan jemaah solat fardu, solat Jumaat dan solat sunat tarawih di masjid dan surau telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) bagi enam daerah yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut akan berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 17 Mei ini atau hingga ketetapan baharu lain dikeluarkan mengikut keadaan semasa.
Menurut beliau, bilangan jemaah untuk solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dihadkan kepada 500 orang jemaah termasuk pentadbir, manakala solat fardu hanya 200 jemaah dan solat tarawih hanya 500 jemaah muslimin serta 100 muslimat termasuk pentadbir.
“Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, hanya 500 orang jemaah termasuk pentadbir, manakala solat fardu hanya 200 jemaah dan solat tawarih hanya 500 jemaah muslimin serta 50 muslimat termasuk pentadbir.
“Seterusnya, hanya 100 jemaah termasuk pentadbir dibenarkan solat di masjid pengurusan dan masjid kariah untuk ketiga-tiga solat tersebut.
“Seramai 200 jemaah termasuk pentadbir dibenarkan solat di masjid institusi, 50 jemaah termasuk pentadbir di surau solat Jumaat untuk ketiga-tiga solat tersebut dan 50 jemaah di surau kariah bagi solat fardu lima waktu dan solat tarawih,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan memberitahu, aktiviti seperti qiamullail, solat jenazah, tadarus al-Quran perlu mengikut had jemaah untuk mendirikan solat fardu lima waktu, manakala iftar petugas serta jamuan selepas kuliah tidak boleh melebihi bilangan jawatankuasa masjid dan surau.
Beliau berkata, bagi aktiviti pengkuliahan dan tazkirah dibenarkan dengan syarat tidak memanggil mereka dari luar daerah masjid atau surau berkenaan.
“Kutipan zakat fitrah di masjid dan surau oleh amil-amil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Pelaksanaan aktiviti di masjid dan mesyuarat jawatankuasa kariah masjid dan surau dibenarkan, namun operasi kiosk dan Mesyuarat Agung Tahunan Masjid atau Surau adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shahzihan turut memaklumkan bahawa ketetapan khusus bagi solat sunat Aidilfitri akan diumumkan oleh pihaknya dalam tempoh terdekat.
Selain itu, katanya, pentadbir masjid dan surau perlu memberi akses kepada ruang solat musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan dan pemandu kenderaan awam mengikut SOP yang ditetapkan.