6 MEI: Kes COVID-19 di negara ini boleh bertambah teruk dan berisiko mencecah 10,000 kes sehari selepas Aidilfitri, sekiranya rakyat alpa serta gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menganggarkan kes positif harian COVID-19 boleh meningkat sehingga 5,000 dan melonjak kepada 10,000 kes, selain keadaan menjadi sukar seperti India.
“Situasi ini boleh berlaku jika tiada intervensi dan SOP tidak dipatuhi sebaiknya rakyat.
“Jika sampai 10,000 kes sehari, kita mungkin jadi seperti India dan kita tidak mahu melihat rakyat negara ini mati bergelimpangan dan sebagainya seperti berlaku di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi di Kuala Lumpur, malam tadi.
Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang.