6 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan tidak pernah melantik ejen bagi mengendalikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata KPDNHEP melaksanakan sendiri program dan aktiviti KBBM bagi tujuan hebahan dan promosi dengan kerjasama rakan-rakan strategik termasuk pemain industri, peruncit serta media.
“Kementerian menegaskan tidak pernah melantik atau melakukan sebarang endorsement kepada mana-mana pihak ketiga untuk bertindak sebagai ejen pengiklanan sama ada melalui media cetak, media elektronik dan media baharu bagi tujuan promosi.
“KBBM juga membantu memajukan projek keluaran usahawan dan industri tempatan serta meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
KBBM merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang dilaksanakan melalui kementerian untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik dengan meningkatkan pembelian barangan tempatan, memajukan projek keluaran usahawan dan industri tempatan.
Inisiatif KBBM dilaksanakan susulan daripada Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dilancarkan pada 1998.