6 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan masyarakat supaya berwaspada dengan ubat yang dijual secara dalam talian, termasuk di media sosial.
Menerusi kenyataan KKM, pembelian ubat yang tidak berdaftar memberi risiko dan boleh menjejaskan kesihatan diri individu dan keluarga mereka.
“Tidak semua promosi dan tuntutan iklan ubat adalah benar serta boleh dipercayai.
“Jangan jadi mangsa penipuan penjual yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook rasmi KKM, hari ini.
Selain itu, KKM berkata, individu perlu memberi perhatian terhadap dua perkara sebelum membeli ubat, termasuk yang dijual dalam talian.
Katanya, individu perlu memastikan ubat yang dijual itu adalah berdaftar dengan KKM melalui nombor pendaftaran MAL dan memiliki pelekat keselamatan hologram.
Individu juga, katanya, harus memastikan iklan ubat disiarkan atau dipaparkan mendapat kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat dengan mempunyai nombor kelulusan KKLIU.
“Jadilah pengguna yang bijak demi Kesihatan dan keselamatan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN