6 MEI: Kerajaan mengumumkan menggantung sementara semua aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Menurut kenyataan KBS penggantungan itu merangkumi premis atau fasiliti komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka, bermula esok.
“KBS membawa beberapa cadangan untuk dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Mesyuarat Jawatankusa Teknikal MKN dan Sidang Khas berkenaan.
“Pertimbangan dan keputusan yang dibuat di peringkat Sidang Khas adalah berdasarkan kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga selepas mengambil kira cabaran serta perkembangan semasa demi kepentingan kesihatan awam selaras dengan hasrat membendung penularan wabak COVID-19 terutamanya di dalam komuniti,” kata kenyataan itu.
Penggantungan sementara membabitkan semua aktiviti sukan dan rekreasi adalah tidak dibenarkan kecuali pengoperasian fasiliti/premis sukan dan rekreasi yang hanya terhad bagi urusan pengurusan dan penyelenggaraan.
“Program latihan berpusat secara kuarantin yang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis-Majlis Sukan Negeri (MSN Negeri) menggunakan konsep ‘camp based training’ dibenarkan seperti biasa.
“Program latihan berpusat secara kuarantin bagi pasukan-pasukan dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggunakan model gelembung sukan (home/camp based training) boleh berjalan seperti biasa.
“Penganjuran kejohanan/ pertandingan/ perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan adalah terhad bagi penganjuran MFL sahaja tanpa kehadiran penonton dan penyertaan pemain/ peserta/ pegawai/ teknikal Malaysia ke kejohanan/ pertandingan di luar negara boleh dilakukan dengan sokongan KBS dan kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia,” kata kenyataan KBS lagi.
Semua aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan PKP dilarang sama sekali kecuali yang mendapat kebenaran khas KBS.
Kehadiran penonton, penyokong ke stadium atau venue sukan dan rekreasi juga dilarang, manakala penyertaan pemain/ peserta/ pegawai/ teknikal Malaysia ke kejohanan/ pertandingan di luar negara perlu mempunyai sokongan KBS dan kebenaran Jabatan Imigresen.
Bagi maklumat lanjut dan terkini mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi, boleh layari laman web KBS melalui pautan http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.