6 MEI: Ustaz Azhar Idrus dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri antara individu bakal dipanggil polis dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis tahnik anak penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Norhaliza Tarudin baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, setakat ini 10 individu sudah dirakam keterangannya termasuk penganjur.
“Mereka akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Majlis tahnik anak kedua penyanyi nombor satu negara itu disiasat susulan dakwaan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pada 3 Mei lalu, Mohamad Farouk Eshak dilapor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung majlis berkenaan yang dianjurkan di Bukit Antarabangsa, di sini.
Menurutnya, siasatan kes dijalankan mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Terdahulu, pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran individu ternama ke majlis itu yang diadakan di kediaman Siti, termasuk penceramah dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus.