Sahruddin nafi dakwaan BERSATU Simpang Renggam bubar
6 MEI: Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan beberapa kepimpinan dan ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Simpang Renggam, namun menafikan BERSATU Bahagian Simpang Renggam telah dibubarkan.
Beliau memaklumkan BERSATU Johor telah surat peletakan jawatan Naib Ketua BERSATU Bahagian Simpang Renggam, Mohd Sidik Arifin pada 3 Mei lalu,
“Surat itu telah sampai ke Pejabat Bersatu Johor dan siasatan dalaman sedang dijalankan.
“Dakwaan yang kata Bersatu Simpang Renggam dah bubar tu, saya kena siasat dulu. Saya tidak tahu kenyataan daripada siapa yang mengatakannya dah bubar,” katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, surat mengenai peletakan jawatan beramai-ramai beberapa ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Simpang Renggam mula tular di media sosial sejak semalam.
Selain Mohd Sidek, beberapa nama yang turut dikaitkan dan dilampirkan dalam senarai itu ialah Pengerusi Bersatu Bahagian Simpang Renggam, Mohd Yusof Parman dan timbalannya, Jamilal Tunis dan lima orang ahli jawatankuasa serta empat ketua dan timbalan ketua cawangan.
Berdasarkan surat yang tular, ia disebabkan mereka hilang kepercayaan kepada pemangku ketua bahagian itu, Azman Omar
Mereka merayu agar badan pimpinan tertinggi dan badan pimpinan negeri mengambil tindakan membubarkan Bersatu Bahagian Simpang Renggam dan melantik seorang ketua penaja yang baharu untuk memimpin Bersatu Bahagian Simpang Renggam.