6 MEI: Kerajaan akan melaksanakan misi repatriasi bagi membawa pulang rakyat Malaysia di wilayah utara dan barat India berikutan penularan gelombang kedua COVID-19 di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata misi repatriasi itu akan dilaksanakan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia.
Katanya, pesawat tersebut akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai, India dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada kerajaan India diperolehi.
Jelas beliau lagi, misi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Penting untuk saya tegaskan, keputusan untuk melaksanakan misi repatriasi ini dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi.
“Malah, keputusan ini turut mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa yang dibuat oleh pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di India,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Hishammuddin, rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi misi tersebut diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sebaik tiba.
Selain itu, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.
“Misi repatriasi kali ini tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah-wilayah berkenaan masih terkawal.
“Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai akan terus memantau situasi di wilayah-wilayah berkenaan dan membuat penilaian berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di sana terus dijaga,” kata beliau.
Hishammuddin dalam masa yang sama mengingatkan agar semua rakyat Malaysia di India khususnya di wilayah utara dan barat sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan misi tersebut atau mendapatkan sebarang bantuan konsulat.
Katanya, misi repatriasi pernah dilaksanakan semasa penularan pandemik COVID-19 melibatkan misi dari Wuhan, China, Iran dan Itali pada tahun lalu.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.