6 MEI: Nama individu yang bakal dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara akan diumumkan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau sudah mengenal pasti beberapa nama calon bakal Timbalan Ketua Polis Negara, untuk proses senarai pendek.
Acryl berkata beliau akan membincangkan senarai nama berkenaan bersama Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum diusulkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
“Selepas nama ini dibawa ke dalam perbincangan antara saya selaku Ketua Polis Negara bersama Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha KDN, untuk senarai pendek, ia kemudian akan dibawa ke SPP yang akan menentukan siapakah yang bakal dilantik kelak.
“Pelantikan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara adalah amat penting dan akan disegerakan. Pelantikan ini turut akan dilakukan sekali dengan pelantikan pengarah jabatan yang bakal bersara,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Acryl Sani berkata, beliau menjangkakan calon Timbalan Ketua Polis Negara, akan diketahui beberapa hari selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sebelum ini, beberapa nama yang disebut-sebut untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, yang ditinggalkan oleh Acryl Sani selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara, Isnin lalu.
Antara nama yang disebut ialah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya, Pengarah Pengurusan, Datuk Ramli Din dan Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Seri Mazlan Lazim, antara disebut-sebut diangkat ke jawatan berkenaan.
Beberapa pemimpin tertinggi PDRM juga dijadualkan bersara wajib antara Mei hingga September ini, dan akan membabitkan pergerakan lain.
Antara spekulasi bertiup kencang adalah pergerakan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang berkemungkinan menggantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah , Datuk Huzir Mohamed, yang bakal bersara pertengahan bulan ini.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.
Next Post