7 MEI: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berharap agar proses sukarela siapa dahulu dia dapat yang digunakan dalam pemberian vaksin AstraZeneca harus diperluas kepada vaksin lain dalam portfolio negara.
Presidennya, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, ini susulan kejayaan program pilihan itu hujung minggu lepas yang menyaksikan 268,000 individu mendaftar dalam tempoh beberapa jam yang dilihat adalah wajar bagi kerajaan untuk menawarkan program tersebut untuk vaksin Pfizer/BioNTech, Sinovac dan lain-lain vaksin yang digunakan oleh negara.
“Ia boleh dikawal selia secara ketat oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) berdasarkan stok yang ada tanpa menafikan akses kumpulan rentan lain.
“Cadangan vaksinasi ad hoc dari masa ke masa boleh diurus oleh hospital swasta berdasarkan temu janji MySejahtera,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Vaksin AstraZeneca dikeluarkan daripada program vaksinasi kebangsaan selepas orang ramai menyuarakan kebimbangan susulan terdapat bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan pembekuan darah dalam kes yang sangat terpencil.
Bagi menghindari pembaziran vaksin “yang terbukti selamat dan berkesan”, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menyatakan, vaksin itu akan hanya diberikan kepada individu yang mahukannya secara sukarela yang bermula di Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Kuljit berkata langkah tersebut sangat membantu individu yang memerlukan vaksinasi awal, seperti pekerja barisan hadapan ekonomi dan individu yang perlu melakukan perjalanan ke luar negara.
“Kami percaya sekiranya orang ramai yakin berhubung kesediaan vaksin dan opsyen divaksin lebih awal, maka banyak berita palsu dan spekulasi yang disebarkan banyak pihak akan tamat.
Berhubung khabar angin yang tersebar atas talian bahawa hospital swasta menjual vaksin, Kuljit berkata, setakat ini APHM tidak menerima maklumat mengenai perkara itu daripada mana-mana anggotanya.
Beliau berkata, dengan ketibaan lebih banyak bekalan, opsyen pendaftaran bagi vaksin AstraZeneca akan dibuka kepada penduduk negeri lain selain Sarawak yang menolak penggunaan vaksin tersebut.