7 MEI : Seorang lelaki warga tempatan ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik peti pencawang Sarawak Energy Berhad (SEB) di jalan Kampung Muara Tebas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Superintendan Awang Din Awang Gani berkata, kejadian berlaku pada jam 10.51 malam dan sepasukan polis telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan bersama-sama pasukan Bomba dan Penyelamat serta wakil SEB.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati mayat lelaki itu yang berusia 37 tahun berada di dalam peti pencawang elektrik dan telah meninggal dunia.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasi sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan mayat mangsa ditemukan orang awam yang bertindak menghubungi talian kecemasan.