7 MEI : Mahasiswa melahirkan rasa kesyukuran dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak.
Bagi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Ahmad Asyraf Muhammad, 23 memaklumkan berita baik tersebut sememangnya ditunggu-tunggu sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Mei lalu.
“Mula-mula risau juga lepas dengar pengumuman Menteri Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) baru-baru ini namun hati terasa sebak dan teruja bila pihak Universiti semalam memaklumkan pelajar boleh pulang sempena Aidilfitri.
” Alhamdulillah, dapat juga puasa dan raya bersama keluarga. Tak sabar nak jumpa mereka semua. Sejak dibenarkan pelajar pulang ke kampus. Saya tak pernah balik lagi dan kerana itu saya amat rindukan keluarga saya,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Berkongsi kegembiraan yang sama, Nik Yasmin Umaira Hasnizan yang merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia berkata dirinya amat teruja kerana dapat pulang ke kampung selepas terkandas di kampus sepanjang PKP dilaksanakan.
“Saya gembira dan bersyukur kerana saya dapat menjalani ibadah puasa bersama ahli keluarga dan tidak berasa sunyi lagi,” katanya.
Beliau yang mengambil Jurusan Sains dan Teknologi memberitahu, proses penghantaran pelajar pulang ke kampung yang dilaksanakan oleh pihak universiti dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya.
“Kami turut diberi makanan dan minuman serta kebajikan pelajar juga dijaga dengan baik. Pihak pengurusan universiti mengutamakan aspek keselamatan pelajar sepanjang proses penghantaran pulang pelajar” katanya.
Dalam pada itu, Norafifa Hasaman, 26 dari Universiti Putra Malaysia (UPM) memaklumkan kerinduannya terhadap keluarga terubat dengan pengumuman tersebut.
Menurut beliau, ibu bapanya di Sungai Besar, Selangor menarik nafas lega dengan berita gembira tersebut dan tidak sabar menanti kepulangan saya yang telah siap sedia memasak ayam masak merah, lauk kegemaran dirinya ketika bulan Ramadan.
“Saya memang terlalu merindukan masakan ibu saya khususnya pada waktu berbuka… kadang-kadang bergenang air mata saya teringatkan suasana berpuasa dan menyambut Aidilfitri.
“Alhamdulillah, doa kami pelajar universiti dimakbulkan kerana dapat beraya bersama keluarga. Terima kasih kepada kerajaan mahupun pihak universiti yang memberi kelonggaran kepada kami untuk pulang berpuasa dan beraya bersama insan tercinta,” katanya.