7 MEI: Dewan Ulamak Pas Pusat menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan termasuk menyekat penyiaran di media sosial terhadap kumpulan muzik, Dolla yang berpakaian seksi dalam video muzik khas sempena sambutan Aidilfitri.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Mohd. Nor Hamzah berkata, perlakuan salah seorang anggota kumpulan tersebut telah mencemar kemeriahan sambutan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal.
“Lagu raya dengan pembawaan imej seksi seperti ini sama sekali tidak akan menyumbang dan menggalakkan rakyat menjadi lebih baik, bermoral dan berdaya saing.
“Hal ini sebaliknya hanya akan mencemarkan maruah diri dan sekali gus mengheret masyarakat tenggelam dalam gelora nafsu.
“Perkara yang semakin menjadi-jadi ini saban hari dilihat sengaja diadakan bagi meneruskan agenda normalisasi maksiat dalam kalangan masyarakat, sama ada si pelakunya sedar atau pun tidak,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Nor juga menganggap ia turut menjejaskan imej Islam sebagai agama rasmi Persekutuan serta merobek kesopanan dan kesusilaan adat ketimuran yang menjadi kebanggaan negara.
“Dewan Ulamak Pas Pusat mengharapkan campur tangan segera daripada pihak berkuasa terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membanteras salah laku seperti ini dengan kenyataan bantahan secara tegas dan rasmi.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga perlu mengambil tindakan segera dengan menyekat video ini daripada tular lebih luas ke dalam media social,” katanya.
Justeru, Mohd. Nor menyeru seluruh umat Islam untuk bersama-sama membantah video muzik lagu raya tersebut.