7 MEI: Rata-rata peminat sukan akur dengan tindakan kerajaan menggantung sementara semua aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Azizi Mohamad, 29, yang merupakan peminat setia sukan futsal menyatakan walaupun sedih namun ini perlu dilakukan demi mengurangkan jangkitan wabak COVID-19.
“Memang kecewa sebab sukan rekreasi macam futsal baru sahaja buka kepada orang awam. Kini, kena tutup semula, kami kena tunggu balik…nak tunggu dibenarkan tak tahu bila sebab sekarang ni kes (COVID-19) tinggi.
“Namun saya akur kerana wajar tindakan yang dilakukan Kerajaan kerana aktiviti seperti sukan ini tempat orang bersosial dan sukar untuk mengamalkan SOP.
“Jarak antara satu sama lain memang sukar dijaga. Jadi, diharap orang ramai pun sama-sama mematuhi SOP agar kita boleh capai semula jumlah di bawah tiga angka,” katanya kepada PN BBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, Izzat Azhar Tahir, 29 yang juga amat meminati sukan futsal kecewa dengan keputusan kerajaan memandangkan dia dan kumpulannya sedang melakukan persiapan menghadapi pertandingan.
“Bila dah jadi begini… susah kami hendak berlatih dan sememangnya kami memerlukan latihan untuk fokus pada pertandingan. Bila dah tak dibenarkan, bagaimana kami nak berlatih.
“Memang betul ini dapat kurangkan COVID-19 namun saya agak terkilan kerana bukan sahaja sudah kerugian wang malah tenaga dan masa kami berlatih sebelum ini ibarat sia-sia sahaja. Bila dah tak lama berlatih, susah nak dapat rentak semula,” katanya.
Dalam pada itu, peniaga gelanggang futsal yang hanya mahu dikenali sebagai Helmi berkata keputusan tersebut akan memberi kesan kepada perniagaannya.
“Terkilan dan kecewa kerana peniagaan futsal sangat terjejas. Sebelum ini, sukan ini ambil masa hendak dibenarkan beroperasi. Tidak sampai dua bulan dibuka dah nak ditutup semula.
“Ketika ini, ramai peniaga seperti kami yang sudah menutup perniagaan, Diharapkan PKP kali ini tidak dilanjutkan.
“Selain itu, saya harap kerajaan juga memberi bantuan kewangan kepada kami yang teruk terjejas.
“Saya baru buka semula gelanggang futsal ini Mac lalu dan keuntungan yang diperoleh tidak seberapa,” katanya.