7 MEI: Remaja 13 tahun didakwa diculik di Klang, Rabu lalu, sebenarnya keluar bersama dua rakan ibunya warga Bangladesh untuk membeli barang.
Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh, menafikan dakwaan sebuah portal berita kononnya ada satu kes culik membabitkan seorang remaja perempuan.
Nurulhuda berkata ini kerana siasatan polis mendapati remaja terbabit sebenarnya keluar bersama dua lelaki warga Bangladesh yang merupakan rakan kepada ibunya, untuk membeli barang pada Rabu lalu.
“Remaja berkenaan kini berada bersama keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurulhuda berkata pihaknya kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penularan berita palsu itu.
Kes itu tular menerusi media sosial hari ini apabila portal berkenaan memuat naik hantaran mendakwa remaja terbabit diculik oleh dua lelaki Bangladesh dan kenderaan dinaiki mereka ditahan di sekatan jalan raya di Tol Bukit Raja, Klang, dekat sini.
Justeru saya menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenangnya memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.
“Tindakan akan diambil kepada individu yang menyebarkan perkara tidak benar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.