7 MEI : Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyangkal dakwaan bahawa khutbah Jumaat di negeri itu berbaur politik.
Beliau menegaskan, khutbah Jumaat lebih menekankan penyatuan ummah demi kebaikan kaum Melayu dan bukan Melayu.
Justeru, Abdul Rahman berkata khutbah di Pahang tidak mempunyai sebarang agenda politik, mahupun cenderung kepada Kerajaan ataupun menolak parti pembangkang.
“Tidak ada unsur politik. Selama ini, kita orang Melayu tidak bersatu dan kalau dilihat agama kita menyuruh umat Islam bersatu, tidak kira PAS, UMNO, PKR, Pejuang, Amanah, BERSATU…semua perlu bersama dan orang Islam wajib memerintah.
“Ini kerana negara ini majoriti orang Melayu, tanah Melayu. Bangsa dan kaum lain perlu bersama-sama menyokong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai khutbah Jumaat hari ini di Pahang yang mendapat kritikan kerana bersifat politik.
Khutbah kedua khas bagi Mei 2021 itu, memuatkan petikan bahawa Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
“Oleh itu menjadi kewajipan umat Islam untuk memastikan negara kita terus kekal berada di bawah pemerintahan bangsa Melayu Islam yang memelihara agama Islam dan Raja Berperlembagaan.
“Haram hukumnya jika negara kita diperintah oleh orang bukan Islam,” menurut khutbah khas itu yang turut dimuat naik di laman Jabatan Mufti Pahang (JMP), hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman menolak sebarang tanggapan mesej dalam khutbah itu tidak berlaku adil kepada kaum lain kerana apa yang dimaksudkan adalah apabila negara diterajui pemimpin Islam, ia akan membawa kebaikan untuk semua, termasuk penganut bukan Islam.
“Kalau orang Islam memerintah, kita ada dasar kita, dia akan berfikir cara Islam, bagaimana nak majukan Islam, dan apabila kita majukan Islam, orang bukan Islam akan turut maju. Kita kena faham begitu,” katanya.
“Bukan bererti kita cakap begitu, maka kita hendak wujud perkauman. Ia tidak benar sama sekali. Kita adil kepada semua bangsa, tak perlu bimbang. Kita tidak nampak akan berlakunya diskriminasi (bila Islam memimpin). Ia tidak akan berlaku ke atas bangsa lain” katanya.