7 MEI: Seorang warga emas menerima padah apabila dikompaun RM5,000 di Raub kerana memotong gelang merah jambu COVID-19 dan keluar dari rumah ketika menjalani kuarantin wajib.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata wanita berusia 72 tahun itu yang tinggal di Kampung Sungai Ruan, Raub, keluar ke klinik untuk mengambil ubat.
Beliau berkata, terdahulu pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Raub menelefon wanita itu untuk memaklumkan bahawa beliau disahkan positif COVID-19, namun dimaklumkan bahawa warga emas terbabit tidak berada di rumah.
“Polis kemudian pergi ke rumahnya sebelum dimaklumkan oleh penghuni kediaman berkenaan bahawa wanita itu keluar ke klinik. Susulan itu, polis terus bergegas ke klinik berkenaan,” katanya.
Kama Azural berkata, wanita itu turut mengaku telah menanggalkan gelang merah jambu yang dipakainya dan keluar dari rumah untuk ke klinik.
Justeru, beliau berkata, warga emas berkenaan dikenakan kompaun RM5,000 mengikut Seksyen 22(b) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 kerana gagal kuarantin di rumah sendiri selepas memakai gelang berwarna merah jambu.
Sementara itu, seorang lelaki memakai gelang merah jambu COVID-19 juga dikompaun RM5,000 kerana gagal kuarantin di rumah, selepas tular gambar dalam media sosial memaparkan dirinya sedang membuat pembayaran di kaunter sebuah pasar raya di Pekan Sungai Ruan.
Kama Azural berkata, lelaki itu memberi alasan menyangka hanya tidak boleh keluar dari kawasan Sungai Ruan selepas memakai gelang merah jambu.
Dalam satu lagi kes berasingan, katanya, tiga lelaki berusia 59, 65 dan 72 tahun yang tinggal di Kampung Sungai Ruan juga dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul tanpa penjarakan fizikal di kawasan awam.
Beliau berkata, kesemua mereka masing-masing dikompaun RM2,000 mengikut Seksyen 25(a) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Kejadian sebegini amat mendukacitakan kerana golongan dewasa dan warga emas sewajarnya menunjukkan contoh baik kepada orang muda supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.
Prev Post
Next Post