8 MEI: Perkhidmatan bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) masih diteruskan sempena Hari Raya Aidilfitri walaupun tidak sampai 50 peratus tiket terjual susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri.
Pengurus Kanan Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan berkata untuk tempoh 7 hingga 17 Mei, kira-kira 23,000 tiket bas ke 131 destinasi di Semenanjung disediakan untuk mereka yang mendapat kebenaran merentas negeri bagi tujuan pekerjaan dan kecemasan.
“Secara purata, TBS menerima kira-kira 2,000 penumpang sehari dalam tempoh ini berbanding 20,000 orang membabitkan lebih 1,000 perjalanan sehari bagi tempoh perayaan Aidilfitri pada 2019 iaitu sebelum COVID-19 melanda.
“Pada tahun ini, jumlah jualan tiket juga sedikit meningkat berbanding tahun lalu yang juga dilaksanakan larangan rentas negeri, kita menerima sekitar 300 penumpang sahaja sehari ke 60 destinasi melibatkan 85 perjalanan,” katanya kepada media, hari ini.
Faizal Redza turut mengesahkan hanya 38 daripada 123 operator bas masih beroperasi secara aktif dan terdapat beberapa perubahan terpaksa dilaksanakan.
Antaranya, kata beliau adalah pengurangan kekerapan perjalanan serta penamatan beberapa laluan membabitkan destinasi pedalaman susulan permintaan yang rendah antaranya ke Gerik, Perak.
“Penumpang perlu menunjukkan surat kebenaran polis untuk merentas negeri ketika pembelian tiket di kaunter manakala mereka yang membeli tiket dalam talian masih perlu menunjukkan tiket di kaunter untuk mendapatkan bar kod bagi pelepasan masuk ke platform.
“Kita juga menyediakan sebuah bas tambahan sahaja sekiranya ada keperluan untuk dipakai di kemudian hari. Jika terdapat sebarang kekeliruan dan urusan berkenaan surat kebenaran merentas negeri akan dirujuk di pondok polis TBS,” katanya.
Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menerusi satu kenyataan memaklumkan hanya 6,834 tiket atau 20 peratus daripada 34,944 tiket kereta api elektrik (ETS) yang disediakan terjual untuk tempoh 7 hingga 20 Mei bagi lapan laluannya.
KTMB berkata, bagi perkhidmatan KTM Antarabandar (Intercity) pula, hanya 384 tiket terjual daripada 51,600 tempat (purata satu peratus) membabitkan 16 laluannya untuk tempoh sama.
“Berbanding 2019, bagi tempoh 31 Mei hingga 12 Jun (musim Aidilfitri), ETS menawarkan 36 perkhidmatan dan dua perkhidmatan tambahan sepanjang tempoh tersebut dengan jumlah tiket terjual lebih 160,000 iaitu 100 peratus, manakala bagi KTM Antarabandar sebanyak 38,362 tiket terjual daripada 49,920 (70 peratus),” katanya.