8 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan jumlah kemasukan kenderaan di negeri Kelantan menunjukkan peningkatan berbanding hari biasa walaupun kerajaan masih mengenakan tindakan larangan rentas negeri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, hasil maklumat yang diperoleh, jumlah kemasukan kenderaan bertambah sebanyak lima peratus berbanding biasa sejak semalam.
“Maklumat tersebut kita dapat hasil pemeriksaan menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu-pintu masuk utama ke negeri ini iaitu di Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.
“Bagaimanapun sebanyak 75 kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba memasuki negeri ini dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta alasan yang diberikan tidak munasabah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Shafien memberitahu, pihaknya turut mewujudkan pasukan pemantauan khas bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan merentas negeri atau daerah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut beliau, lima SJR juga turut ditambah melibatkan tiga daerah iaitu di Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas terutama menjelang sambutan Aidilfitri.
“Polis juga akan menambah bilangan pasukan penguat kuasa untuk memantau tahap pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam seperti pusat beli-belah.
“Nasihat saya kepada semua rakyat supaya sentiasa patuh kepada SOP bagi membantu kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Kelantan turut mengarahkan agar semua perniagaan di tepi jalan di negeri itu ditutup sepenuhnya berkuat kuasa pada Ahad susulan peningkatan jumlah jangkitan COVID-19.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan melalui kenyataan media hari ini memaklumkan, pandemik COVID-19 di Kelantan semakin meningkat dan kes positif harian tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan.
“Keadaan lebih rumit apabila kemudahan kesihatan COVID-19 di negeri ini semakin kritikal.
“Keputusan penutupan semua kedai itu bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di satu-satu tempat yang menjadi salah satu faktor penyumbang kepada penularan pandemik tersebut.
“Antara aktiviti yang dikenal pasti menarik perkumpulan sedemikian pada masa ini ialah gerai atau penjaja di tepi jalan,” katanya.
Kata kenyataan itu, penjaja juga dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menambah, pemakluman berhubung langkah berkenaan sudah dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menguatkuasakan arahan tersebut.
“Patuhi arahan ini bagi mengelakkan berdepan tindakan undang-undang,” katanya.