8 MEI: Kawalan di lima laluan tikus di sempadan Pulau Pinang yang dikenal pasti polis, akan diperketatkan bagi menghalang cubaan merentas negeri sempena Aidilfitri dan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan, berkata anggota dan pegawai pihak berkuasa itu akan ditugaskan di setiap sempadan Pulau Pinang, termasuk di laluan tikus berkenaan.
Pemeriksaan ketat, katanya, akan dijalankan di lokasi dikenali pasti, antaranya mengadakan sekatan jalan raya secara bergerak.
“Kita sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah membuat pemeriksaan di jalan-jalan kecil atau laluan kampung di sempadan negeri ini sepanjang musim perayaan.
“Sebanyak 15 sekatan jalan raya diadakan di sempadan negeri ini sepanjang PKPB, membabitkan seramai 700 keanggotaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di Balik Pulau, malam tadi.
Sahabudin berkata, pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan di Pulau Pinang.
“Kita bersedia membuat sekatan antara daerah sekiranya PKP dilaksanakan semula dengan membabitkan penugasan hampir 3,000 keanggotaan,” katanya.