8 MEI: Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan mulai 10 Mei sehingga 6 Jun ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa aktiviti rasmi dan tidak rasmi juga tidak dibenarkan dalam tempoh tersebut.
“Semua aktiviti seperti aktiviti sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam tidak dibenarkan.
“Turut tidak dibenarkan ialah aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan dan swasta,” katanya menerusi kenyataan media laporan perkembangan COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, aktiviti sukan dan rekreasi individu dan tidak bersentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter di kawasan terbuka di kawasan PKP dibenarkan bagi tujuan kesihatan.
“Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu,” katanya
Sementara itu, beliau turun memaklumkan Kerajaan juga bersetuju untuk menutup semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan PKP bermula Isnin ini.
“Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem HIDE akan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta merta,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH