9 MEI : Legenda rock tanah air, Datuk Awie berkata, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, berhubung video tular memaparkannya mempersembahkan nyanyian di sebuah majlis berbuka puasa di Melaka dalam suasana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kelmarin.
“Saya akan ke Melaka esok untuk beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Insya-Allah,” katanya ketika dihubungi sebuah media, hari ini.
Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman yang juga vokalis kumpulan Wings berkata, persembahan itu adalah reaksi spontan beliau ketika meraikan penarik beca dalam program terbabit.
“Bila sudah habis makan, mereka nak suruh saya nyanyi, tapi tak ada peralatan untuk nyanyi, jadi mereka mainkan video.
“Apabila video dimainkan, penarik beca ini jarang jumpa (artis) dan inilah kali pertama artis meraikan mereka, jadi saya bangunlah sekali ketika mereka sudah ramai-ramai, tetapi bukanlah rapat dengan mereka,” katanya mengulas video itu.
Beliau berkata, video direkodkan itu adalah daripada bahagian depan dan direkodkan individu diketahuinya.
“Kita pun sudah pesan, jaga SOP semua dan segala SOP kita ikutlah, cuma pada ketika itu keadaannya seperti mereka (penarik beca) macam menghargai apa saya buat.
“Jadi saya bangun sekejap dengan mereka, tidak sampai seminit pun, sekejap sahaja,” jelasnya.
Pada masa sama, Awie berkata, beliau kecewa terhadap sikap segelintir individu yang menghukum beliau tanpa mengetahui situasi sebenar kejadian ketika itu.
Justeru, katanya, beliau meminta pihak terbabit jangan mengambil kesempatan di media sosial hanya berdasarkan apa yang ditonton sedikit itu untuk menghentam, jika tidak mengetahui perkara sebenar.
“Kita di peringkat awal, kita sudah ikut SOP, kita ada semua sekali apa yang kerajaan minta memang kita sudah buat.
“Mana-mana netizen yang ambil kesempatan untuk hentam saya tanpa tahu cerita sebenarnya, tidak mengapa dan saya maafkan mereka di bulan Ramadan dan bulan Syawal menjelang tiba ini, saya maafkan semua, tidak ada masalah,” katanya.
Selain itu, Awie berkata, beliau juga sedia menerima sebarang tindakan susulan dikenakan pihak polis susulan video itu.
Video berdurasi 42 saat itu memaparkan Awie dan beberapa individu tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika menghadiri majlis misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka