9 MEI: Kerajaan dicadangkan supaya melaksanakan larangan pergerakan sepenuhnya atau ‘lockdown’ bagi mengekang peningkatan jangkitan virus COVID-19 dalam komuniti di Malaysia sekarang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan drastik berkenaan perlu bagi mengelak kerajaan daripada terus mengeluarkan arahan yang mengelirukan.
“Apalagi bila protokol kesihatan tidak lagi berkesan kerana rakyat telah mula menunjukkan sindrom keletihan terhadap SOP. Negara maju terus mengambil pendekatan drastik seperti ‘lockdown’ walaupun mereka mempunyai kebitaraan unggul dalam mengumpul dan memahami data,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 4,519 kes baharu COVID-19 dan 25 kematian semalam.
Daripada jumlah itu, 36,564 adalah kes aktif, dengan 393 pesakit dirawat di ICU dan 210 memerlukan bantuan pernafasan.
Wad ICU di hospital di negara ini juga dilaporkan semakin mencapai kapasiti penuh.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ICU di Hospital Sungai Buloh hampir penuh dengan pesakit Covid-19.
Mengulas lanjur, Mohamed Khaled berkata membataskan pergerakan manusia adalah jalan terbaik untuk memutuskan rangkaian wabak ini.
Katanya, rakyat Malaysia tidak kira orang kenamaan, politik mahupun rakyat mesti berkorban dan melupakan segala bentuk kunjungan Hari Raya walaupun dalam daerah yang sama bagi mengelakkan jangkitan.
“Ingatlah, dengan proses vaksinasi yang perlahan, kemampuan kemudahan perubatan telah
berada pada tahap maksimum dan petugas kesihatan semakin tertekan, Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menanggani wabak ini. Semua sektor ekonomi mesti memberi laluan kepada ‘darurat kesihatan’ ini,” katanya.
Mohamed Khaled berkata kerajaan juga mesti mempertingkatkan kebolehgunaan fungsi MySejahtera bagi memastikan ia menjadi aplikasi yang rakyat Malaysia perlukan pada setiap saat dan ketika bagi menjaga keselamatan diri mereka.
Katanya, keupayaan sedia ada MySejahtera seharusnya ketika ini sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan QR.
“Ia seharusnya sudah berupaya memaklum individu jika mereka pernah berada dalam jarak yang dekat dengan individu positif Covid (‘proximity notification’).
“Teknologi ini telah pun dibina melalui kolaborasi Apple dan Google. Dalam kes sporadik, individu positif tidak mengetahui sumber atau tempat di mana mereka mendapat jangkitan. Jika digunakan selari dan bersama keupayaan sedia ada MySejahtera, ia menjadi jawapan kepada permasalahan ini,” katanya
Get real time updates directly on you device, subscribe now.