9 MEI : Polis menahan 493 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) termasuk 214 kerana gagal merekodkan butiran diri atau daftar masuk premis di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 480 individu dikompaun manakala 13 lagi direman.
Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (214), aktiviti pusat hiburan (16) tidak memakai pelitup muka (84),
tiada penjarakan fizikal (52) dan lain-lain (127).
“Kerajaan telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri dan kawasan hotspot yang dikenalpasti di bawah sistem HIDE.
“Langkah-langkah penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan yang lain juga akan dipertingkatkan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Ismail Sabri juga mengesahkan seramai 1,020 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.
Beliau berkata secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 199,322 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 77 hotel dan 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
Katanya daripada jumlah itu, seramai 7,530 individu telah dikuarantin dan 189,908 orang dibenarkan pulang manakala 1,884 lagi dibawa ke hospital.