9 MEI: Seorang lelaki bakal dituduh di Mahkamah Sepang esok kerana didapati memuat naik video yang menghasut dan menjatuhkan imej institusi kehakiman Malaysia di YouTube baru-baru ini.
Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata lelaki berkenaan akan dituduh Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata suspek dikenali sebagai Jufazli Shi Ahmad didakwa selepas polis menerima satu laporan dibuat seorang kakitangan Pejabat Kehakiman Negara mengenai satu pautan video dimuat naik oleh seorang individu di laman YouTube yang dilihat cuba menghasut dan menjatuhkan institusi kehakiman pada 23 April lalu.
Berikutan itu, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan polis mendapati video tersebut telah memaparkan satu video yang bertajuk “Hakim Kes 1MDB Diugut Oleh Najib Razak Dalam Mahkamah Malaysia?1? berdurasi selama lebih kurang 20 minit di laman Youtube.
“Antara isi kandungan video berkenaan adalah mempersoalkan kewajaran penukaran ketua Hakim Tinggi Kuala Lumpur YA Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah) kepada Mahkamah Tingi Kuala Lumpur (sivil) berkuatkuasa 1 Mac lalu.
“Kertas Siasatan telah dilengkapkan dan dimajukan ke Pejabat Peguam Negara dan arahan tuduh Saspek iaitu Jufazli Shi Ahmad di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Mahkamah Sepang pada jam 9 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. – Oleh HAIKA KHAZI