9 MEI : Negara Islam mengecam tindakan kekerasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin yang membantah larangan dikenakan rejim tersebut untuk ke beberapa bahagian di Kota Lama ketika Ramadan.
Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Mesir, Tunisia, Pakistan dan Qatar mengecam kekasaran tentera Israel terhadap penduduk Palestin dan menggesa perbuatan ganas itu dihentikan.
Manakala Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan melabelkan Israel sebagai ‘negara pengganas yang kejam’ dan meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) campur tangan menghentikan penganiayaan terhadap penduduk Palestin.
Iran juga senada dengan Turki meminta PBB campur tangan kerana keganasan itu membuktikan tindakan jenayah rejim Zionis.
Ketegangan di Baitulmaqdis semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu, berikutan rakyat Palestin memprotes larangan yang dikenakan Israel.
Ini termasuk tindakan pihak berkuasa rejim itu yang mengarahkan beberapa keluarga Palestin meninggalkan rumah mereka.
Sehingga malam tadi, seramai 53 orang awam cedera apabila polis Israel melepaskan tembakan meriam air dan peluru getah bagi menyuraikan penunjuk perasaan penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis, sehari selepas pertempuran sengit di Masjid Al-Aqsa.
Sementara itu, di sempadan Tebing Gaza, polis melepaskan gas pemedih apabila dilaporkan sebanyak tiga peluru perenjat dilancarkan ke Israel hingga menyebabkan kebakaran tetapi tidak ada yang cedera.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mempertahankan tindakan pasukan keselamatannya dalam usaha memastikan undang-undang dipatuhi sambil membenarkan kebebasan beribadah.