9 MEI : “Bantulah kita (barisan hadapan) untuk membantu anda sekeluarga,” rayu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah menerusi ciapannya di Twitter, hari ini.
Beliau turut merayu supaya orang ramai kekal berada dirumah sekiranya tidak mempunyai urusan benar-benar penting bagi mengelakkan dijangkiti COVID-19.
Katanya, akan tiba masa negara tidak mempunyai katil unit rawatan rapi (ICU) mencukupi.
Perkara itu, katanya, akan berlaku sekiranya kes baharu pesakit terus meningkat, termasuk bilangan dimasukkan ke unit terbabit.
“Sila duduk di rumah, kerana jika anda dan keluarga dijangkiti COVID-19 mungkin akan sampai masa kita tidak ada katil ICU yang mencukupi.
“Bantulah kita untuk membantu anda sekeluarga,” ciapnya.
Semalam, kes baharu, kes ditempatkan di ICU dan kes kematian, masing-masing menunjukkan peningkatan.
Kes baharu pandemik itu adalah sebanyak 4,519 kes semalam, manakala 393 pesakit ditempatkan di ICU dengan 210 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan dan kematian merekodkan 25 kes. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN