9 MEI: Dua pelakon wanita popular iaitu Nora Danish dan Tiz Zaqyah, mengesahkan diri mereka disahkan positif COVID-19 menerusi akaun Instagram masing-masing hari ini.
Nora Danish atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 39, yang pernah popular menerusi drama bersiri Puteri berkata, beliau disahkan positif COVID-19 pagi tadi.
“Dukacitanya nak maklumkan Nora didapati positif Covid-19 pada hari ini. Semalam, Nora ada buat ujian calitan kerana mempunyai kontak rapat kategori C.
“Keputusannya Nora dapat pagi tadi walaupun tidak mengalamai sebarang simptom. Sekarang saya kuarantin kendiri di dalam bilik agar anak-anak dan suami selamat.
“Mereka juga sudah lakukan ujian calitan pada 12 tengahari tadi, doakan kami semua ya,” katanya dalam satu hantaran menerusi akaun Instagramnya hari ini.
Mengulas lanjut, Nora berkata dia sepatutnya hadir untuk suntikan vaksin AstraZeneca pagi tadi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
“Pagi ini sepatutnya saya divaksin di UKM tetapi dinasihatkan kuarantin dulu. Insya-Allah pasti ada hikmah atas apa yang terjadi.
“Bagi sesiapa yang ada jumpa saya antara 4 hingga 8 Mei lalu, tolong lakukan ujian calitan, jaga diri dan maafkan saya,” tulisnya lagi.
Tiz Zakian atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 32, beliau disahkan positif selepas mengalami simptom seperti batuk dan badan menggigil.
“Semuanya bermula ketika saya mengalami batuk dan badan menggigil. Saya dapat rasakan keadaan badan saya tidak seperti selalu,” katanya dalam hantaran tersebut.
Pelakon yang popular menerusi drama Nur Kasih itu menasihatkan semua individu menjalani ujian calitan sekiranya mempunyai simptom berkaitan.
“Jika anda ada demam, selesema, batuk dan pening kepala tolong lakukan ujian saringan.
“Jangan terlalu yakin sekiranya tidak mengalami sebarang simptom. Jalani ujian saringan sebelum keadaan bertambah buruk, kekal berada di rumah.
“Virus ini berada dimana-mana, bukan gurauan lagi. Doakan untuk saya dan keluarga,” katanya.