10 MEI: Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 3,807 kes baharu dengan 17 lagi kes kematian akibat penularkan COVID-19 dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat ke 444,484.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 1,149 kes, diikuti Sarawak (649), Kelantan (329) dan Kuala Lumpur (320).
Beliau berkata semua negeri mencatatkan kes baharu hari ini dengan pertambahan kes terendah ialah Labuan dan Perlis, masing-masing tiga kes.
“KKM juga melaporkan bahawa terdapat 37,396 kes aktif COVID-19 di Malaysia sekarang dengan 434 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 224 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Terdapat 17 kes kematian pada hari ini yang melibatkan empat kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Pulau Pinang dan Melaka, masing-masing dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak, serta masing-masing satu kes di Sabah, Kedah, dan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu kenyataan berasingan, Dr Noor Hisham berkata Selangor yang menjadi negeri tertinggi bilangan kes Covid-19 sejak enam bulan lalu perlu belajar daripada Sabah dengan salah satu aspek yang perlu ditekankan ialah kawalan sempadan dan perhimpunan awam.
“Sabah telah menurunkan kesnya dari empat digit kepada dua digit. Harap kita dapat belajar dari Sabah terutama aspek kawalan sempadan dan perhimpunan awam,” katanya dalam komen di hantarannya Twitternya hari ini.
Terdahulu, dalam statusnya, Dr. Noor Hisham berkata, perjuangan memerangi Covid-19 perlu disokong rakyat dengan amalkan perintah kawalan pergerakan (PKP) kendiri.
“Perjuangan kita semua, bukan hanya petugas KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan petugas barisan hadapan frontliners yang lain.
“Kesedaran dan tanggungjawab sosial boleh dimulakan dgn PKP kendiri dengan duduk di rumah dan patuh kepada segala SOP. Insya Allah kita boleh putuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.