10 MEI: Malaysia masih belum menerima pengesahan daripada Arab Saudi berhubung tarikh dan kuota untuk jemaah negara ini menunaikan haji.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata bagaimanapun, kerajaan sudah membuat persiapan rapi untuk bakal jemaah Malaysia.
“Buat masa ini, Malaysia belum menerima pengesahan atau maklumat daripada Arab Saudi mengenai haji membabitkan rakyat kita.
“Kita sudah berunding dengan pihak kerajaan Arab Saudi dan nyatakan persiapan kita, segalanya sudah sedia cuma menunggu pengesahan negara itu.
“Persiapan kita ini, termasuk mengkhaskan vaksin COVID-19 untuk disuntik kepada bakal jemaah nanti,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC.
Kerajaan Arab Saudi hari ini menerusi laporan Saudi Gazzette, mengumumkan secara rasmi bahawa ibadah haji 2021 boleh dilaksanakan dengan syarat ketat dari segi kesihatan dan keselamatan.
Selain itu, Ahmad Marzuk berkata, Malaysia akan akur dengan kuota jemaah ditetapkan Arab Saudi kerana perkara itu adalah hak kerajaan negara berkenaan.
Mengulas dakwaan ada negara lain dikatakan menerima kebenaran awal untuk jemaahnya menunaikan rukun Islam kelima itu, beliau menegaskan keputusan terbabit sememangnya di bawah kuasa kerajaan Arab Saudi.
“Pembuat keputusan adalah Arab Saudi, justeru jika pihak mereka nak bagi berapa kuota dan mendahulukan negara mana, itu memang hak mutlak mereka,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN