10 MEI: Ketua Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan bahawa beliau tidak risau dengan kritikan daripada rakan komponen parti itu atau pembangkang kepada kerajaan.
Beliau berkata, sebaliknya beliau mengambil kira kritikan itu sebagai menambah baik usaha kerajaan.
“Apatah lagi kerajaan hari ini sedang berdepan dengan suasana ujian COVID-19 yang tidak ada sesiapa pun pernah menghadapinya.
“Inilah kerajaan yang menghadapinya dan keadaan sama juga berlaku kepada negara-negara yang lain,” katanya menerusi muat naik di Facebook, hari ini.
Selain itu, Khairil Nizam berkata, keunikan negara ini adalah keharmonian dan toleransi antara kaum melalui ikatan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara yang kuat.
“Asasnya adalah keadilan Islam, sama ada rakan-rakan daripada kalangan Muslim atau bukan Muslim, kita semua adalah rakyat Malaysia.
“Bila kita bergelar rakyat Malaysia, kita ada hak kepada bumi tercinta ini dan kita akan dilindungi perlembagaan kita,” katanya.
Katanya, beliau yakin dan percaya Malaysia akan menjadi negara maju pada masa akan datang, sekiranya semua pemimpin muda mempunyai iktikad, selain semangat bersatu tenaga serta minda dalam usaha menambah baik serta memajukan negara.