10 MEI: Sebanyak 1,426 kenderaan yang cuba merentas sempadan Kelantan tetapi gagal mengemukakan surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah berpatah balik sejak kelmarin.
Jumlah itu turut mebabitkan 366 kenderaan yang dikesan berbuat demikian di tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri berkenaan dalam tempoh 24 jam, sehingga 8 pagi ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata jumlah kenderaan itu sedikit menurun berbanding kelmarin, namun tetap berlaku kemasukan berikutan Aidilfitri semakin hampir.
“Pihak kami akan memperketatkan sekatan di SJR di tiga sempadan iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai surat kebenaran sah dibenarkan masuk.
“Kita tidak menyangka setiap masa ada cubaan perantau untuk masuk ke Kelantan demi menyambut Aidilfitri di kampung halaman, walaupun mereka tahu larangan rentas negeri.
“Mereka tetap ingin mencuba nasib walaupun terpaksa memandu beratus kilometer untuk sampai di SJR di Kelantan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shafien berkata, cubaan rentas negeri ke Kelantan pada hari kedua SJR menunjukkan sedikit penurunan berbanding hari pertama, berkemungkinan masyarakat sudah maklum berhubung sekatan diadakan.
“Polis Kelantan mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba melakukan rentas negeri semata-mata untuk menyambut Aidilfitri.
“Sekali lagi saya ingatkan, kita akan membuat pemeriksaan terperinci bagi mengelak mereka mengambil kesempatan,” katanya.