10 MEI: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini menerima sumbangan wang tunai lebih RM20 juta daripada Majlis Getah Malaysia (MRC) untuk Tabung COVID-19.
Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof di ibu pejabat Nadma di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, ini merupakan usaha pihaknya dan komitmen Mohd Khairuddin dalam membantu mereka yang terjejas akibat COVID-19.
“MRC sebagai agensi yang bertanggungjawab di bawah KPPK komited untuk bersama dalam usaha kerajaan membantu ekonomi dan rakyat yang terjejas ekoran wabak COVID-19.
“Ini juga memandangkan prestasi yang cemerlang yang ditunjukkan oleh industri getah pada tahun 2020, terutamanya dalam industri sarung tangan getah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim merakamkan penghargaan kepada MRC atas keprihatinannya menerusi bantuan tersebut.
“NADMA merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas keprihatinan MRC dan mengharapkan jaringan kerjasama ini akan diteruskan pada masa akan datang demi manfaat semua rakyat Malaysia,” katanya.
Tabung COVID-19 dilancarkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Mac bagi memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas dengan penularan COVID-19. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH