10 MEI: Keputusan penutupan dan pembukaan sekolah sepanjang situasi COVID-19 adalah bergantung kepada arahan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dibuat berdasarkan situasi semasa pandemik itu.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata keputusan itu juga dibuat selepas KPM meneliti dan memperhalusi perkara terbabit secara terperinci.
“Jadi, saya tidak berani nak mengatakan adakah sekolah perlu ditutup sampai hujung tahun, sebab mana tahu situasi COVID-19 akan beransur pulih dalam tempoh tertentu,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC.
Beliau berkata demikian ketika ditanya situasi kebanyakan ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang dijangkiti pandemik itu, malah ada segelintir mereka meminta institusi pendidikan berkenaan ditutup sehingga hujung tahun dengan pengajaran dan pembelajaran (PdPR) dijalankan di rumah.
Ada pula ibu bapa yang mengharapkan sistem penggiliran dilaksanakan antara pengajaran bersemuka dan PdPR bagi memastikan pelajar lebih fokus, sekali gus memahami serta menguasai apa dipelajari.
Mohamad Ali berkata, PIBGN pernah mencadangkan pelaksanaan sistem sekolah secara bergilir kepada KPM, tetapi soal yang mengekang kelancaran usaha itu adalah situasi perkembangan COVID-19 yang berselerak atau meningkat dalam tempoh tidak tetap.
“Memang kita harapkan satu sistem secara bergilir-gilir antara bersemuka di sekolah dan dalam talian atau antara sekolah menengah dan rendah serta menerusi pengisian di saluran pendidikan boleh dilaksanakan secara bersepadu.
“Namun dalam situasi pandemik ini, kita yakin KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneliti secara terperinci berhubung setiap keputusan diambil bagi memelihara kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
“Cuma kita harapkan kerajaan boleh mengumumkan analisis, justifikasi rasional dan keputusan menutup atau membuka sekolah lebih awal, mungkin sebulan sekali maklumkan kepada orang ramai, ibu bapa, pelajar serta guru mengenai perkembangannya supaya mereka lebih bersedia dan memahami mengapa tindakan diambi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor, berkata belum tiba masanya sistem penggiliran dilaksanakan dalam tempoh terdekat memandangkan jumlah kes COVID-19 sejak kebelakangan ini semakin meningkat sehingga empat angka.
Katanya, pelaksanaan sistem penggiliran boleh dilaksanakan sekiranya kes penularan jangkitan COVID-19 kembali menurun dan tidak memberi kesan besar yang membebankan ibu bapa.
“Bagi GPMS, kesihatan pelajar perlu diutamakan, jadi masa sekarang belum sesuai diadakan sistem penggiliran, mungkin kita tengok dulu dalam tempoh dua tiga minggu ini bagaimana situasi semasa COVID-19 dan jika semakin baik, mungkin boleh dilaksanakan penggiliran,” katanya.
Mohd Alif Anas berkata, ketika PdPR dilaksanakan di seluruh negara Januari lalu, GPMS ada mencadangkan sistem penggiliran kelas diutamakan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan penyampaian guru lebih berfokus, mudah diterima dan pelajar memiliki masa tambahan mengemukakan sebarang persoalan.
Bagaimanapun, katanya, walau apa kaedah pengajaran perlu dilakukan guru ketika pandemik ini, beliau yakin mereka sudah bersedia menjalankan tanggungjawab kerana sudah setahun berdepan situasi sama.
“Saya rasa guru-guru kita dah cukup profesional untuk menghadapi situasi sekarang, malah mereka mengetahui apakah masalah dihadapi pelajar dan bagaimana mengatasinya kerana mereka bersama-sama pelajar ini dari semasa ke semasa.
“Guru-guru ini sudah mampu mengetengahkan apa sahaja masalah dihadapi pelajar dan ibu bapa ketika pandemik ini kepada pihak KPM dan GPMS yakin Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin dapat memberi solusi terbaik terhadap isu tercetus, termasuk cadangan penggiliran kelas terbabit,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN