10 Mei: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM3 juta bagi menceriakan anak-anak dengan sumbangan pelbagai peralatan persekolahan menerusi Program Ceria Ke Sekolah tahun ini.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB itu, sebelum ini dikenali sebagai ‘Back To School’ dengan sasaran bantuan untuk golongan B40 di seluruh negara dan telah dilaksanakan sejak lapan tahun lalu.
Bantuan tersebut mampu dinikmati kira-kira 30,000 murid.
Terbaru, sumbangan peralatan persekolahan itu disampaikan kepada 100 murid sekolah di kawasan sekitar Parlimen Kuala Kedah yang disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Pengerusi TNB, Megat Mohd Rafiezi Megat Mohd Rodzi di Dewan Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.
Menurut Megat Mohd Rafiezi, sumbangan tersebut sampai ke golongan sasar dan sememangnya dinanti-nantikan oleh anak-anak sekolah kumpulan B40 terbabit.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Tambah beliau, pengagihan bantuan pada tahun ini berlaku sedikit kelewatan berikutan kekangan pergerakan rentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Saya fikir semua pihak memahami situasi kelewatan agihan sumbangan tersebut memandangkan kita dibatasi dengan Covid-19 yang menyebabkan semua pihak terjejas.
“Namun, kita telah cuba sedaya upaya menyelesaikan agihan sumbangan CSR Ceria Ke Sekolah itu pada awal bulan April lalu,” katanya.
Selain peralatan persekolahan, turut diberikan kit ‘Anti-Covid-19’ yang mengandungi pelitup muka dan cecair sanitasi tangan, sesuai dengan situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih berleluasa.
Untuk sumbangan Ceria Ke Sekolah bagi tahun hadapan, TNB juga bercadang untuk menyampaikannya kepada anak-anak kakitangan TNB sendiri sebagai satu bentuk penghargaan kepada kakitangan-kakitangan TNB.
Cadangan pemberian untuk anak-anak kakitangan TNB itu diutarakan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri dalam satu majlis penyerahan sumbangan Ceria Ke Sekolah Peringkat Ibu Pejabat TNB baru-baru ini.