11 MEI : Walaupun masih kekal di paras 3,000 kes, negara masih mencatatkan peningkatan bagi kes baharu COVID-19 hari ini iaitu sebanyak 3,973 kes berbanding 3,807 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata lebih membimbangkan, kes kematian turut mencatatkan peningkatan pada hari ini iaitu sebanyak 22 kes yang menjadikan jumlah kumulatif kematian negara setakat ini ialah 1,722 kes.
Menurut beliau, kes baharu hari ini membabitkan 3,802 kes tempatan dan lima kes import yang menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu di negara ini setakat tengah hari tadi 448,457 kes.
“Kes kematian pada hari ini melibatkan enam kes di Selangor, lima kes di Kelantan, tiga kes di Johor, masing-masing dua kes di Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta masing-masing satu kes di Sabah, Sarawak, Kedah, dan Pahang.
“Kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 2,848 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 408,236 atau 91.20 peratus daripada keseluruhan kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 434 orang termasuk dan 224 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 37, 396 atau bersamaan 8.41 peratus” katanya menerusi sidang media khas bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham memberitahu terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini dan daripada jumlah itu, lima daripadanya adalah di Selangor iaitu di Jalan Haji Abdul Aziz, Jalan Utarid Lima, Jalan Sepuluh Industri Mie, Kota Warisan dan Jalan Mempelam.
“Dua daripada di Kelantan iaitu di Banggol Gajah Mati dan Pauh Lima dan selebihnya adalah Jalan Dato Setia, Johor; Dah Penghulu, Kedah; Jalan Serkam di Melaka serta Johor; Jalan Lingkaran Ilmu, Johor; Bako Hilir, Sarawak Dah Amanjaya 2, Kumpulan di Kedah,” katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 1820 dan sebanyak 1366 kluster telah ditamatkan di samping hanya 454 kluster yang masih aktif- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH