11 MEI: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengadakan sekatan jalan raya (SJR) 24 jam di lima lokasi di daerah itu bermula 6 Mei lalu, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib, berkata SJR itu membabitkan satu lokasi dari arah keluar masuk Shah Alam di Plaza Tol Bukit Jelutong yang diadakan secara tetap, manakala empat yang lain adalah menerusi operasi bergerak.
“Empat operasi SJR bergerak itu dikendalikan balai di kawasan pentadbiran IPD Shah Alam, iaitu Balai Polis Sri Muda, Balai Polis Bukit Jelutong, Balai Polis Seksyen 9 dan Balai Polis Seksyen 6.
“Pelaksanaan secara bergerak ini adalah mengikut keperluan dan keadaan lokasi terbabit,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan SJR di Plaza Tol Bukit Jelutong menghala ke Shah Alam di Shah Alam, semalam.
Baharuddin berkata, pihaknya turut menggerakkan 10 pasukan pemantau di lapangan bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP.
“Kita juga ada pasukan khas bagi memantau pematuhan SOP dan pencegahan jenayah menjelang Aidilfitri, termasuk rondaan pada hari raya dari rumah ke rumah.
“Seramai 26 pegawai dan 147 anggota terbabit dalam tugasan berkaitan COVID-19 dan pematuhan SOP, terutama menjelang Aidilfitri ini,” katanya.