11 MEI: Selepas 1,426 kenderaan yang ingin merentas sempadan Kelantan diarah berpatah balik dalam tempoh tiga hari lalu kerana gagal mengemukakan surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), masih ada pengguna jalan raya tidak serik apabila sebanyak 230 kenderaan dikenakan arahan itu dalam tempoh 24 jam sehingga pagi ini.
Jumlah itu menjadikan keseluruhan kenderaan yang diarah berpatah balik kerana tiada kebenaran PDRM adalah sebanyak 1,656 dalam tempoh empat hari.
Kesemua kenderaan itu diarah berpatah balik ketika cuba merentas sempadan di tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata bagaimanapun setiap hari kita mendapati cubaan untuk masuk ke Kelantan semakin berkurangan, mungkin mereka sudah sedar sekatan ketat dilakukan.
“Justeru, polis mengingatkan perantau supaya tidak cuba merentas negeri,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Selain itu, Shafien berkata, beliau mencadangan supaya bekalan makanan yang dihantar pelbagai pihak untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Bunut Susu, ditempatkan di Markas Operasi Sekolah Kebangsaan (SK) Penggu.
Katanya, cadangan itu adalah bagi mengelakkan orang ramai masuk ke kawasan berkenaan yang agak membahayakan.
Beliau berkata, semua makanan ditempatkan di sekolah berkenaan dan hanya ketua keluarga keluar untuk mengambil bekalan terbabit.