11 MEI: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pulau Pinang mengecam serangan udara Israel terhadap Gaza sehingga mengorbankan 20 orang awam selain kekasaran tentera mereka ke atas umat Islam Palestin ketika solat tarawih di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis pada Jumaat lalu.
Parti berkenaan menganggap tindakan dilakukan itu sebagai bacul dan zalim, terutama ketika umat Islam Palestin sedang beribadah pada bulan Ramadan.
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof, berkata sememangnya tindakan itu tidak bertamadun dan tiada perikemanusiaan, serta menambah ‘luka parah’ rakyat Palestin yan sekian lama berdepan keganasan pasukan tentera Israel.
“Kami menyokong ketegasan Presiden PAS yang juga merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pendirian dan kecaman ke atas keganasan dilakukan ke atas umat Islam di Palestin.
“Keganasan ini adalah satu jenayah antarabangsa dan kami melihat isu keganasan serta penindasan ini yang turut berlaku ke atas umat Islam Uighur di China dan Myanmar, sehingga kini tiada pembelaan sewajarnya,” katanya menerusi pautan kenyataan akhbar yang dikongsi di Twitter.
Muhammad Fauzi berkata, umat Islam di Malaysia, terutama di Pulau Pinang mesti sedar dan bersatu atas nama agama, agar kita mempunyai kekuatan dalam mendepani secara bersama isu perlecehan agama serta ummah ketika ini.
“Kami juga menyeru semua umat Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan untuk terus berdoa dan berusaha agar umat Islam di Palestin diberi kesabaran, kekuatan serta pembelaan daripada Allah swt.
“Di saat ini, kami mengajak seluruh umat Islam supaya terus bermunajat kepada Allah swt untuk kesejahteraan umat Islam di sana dan bersama-sama meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi al-Quds, memandangkan Palestin adalah melangkaui isu umat Islam serta Isu kemanusiaan sejagat,” katanya.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu itu, polis antirusuhan Israel bertempur dengan ratusan rakyat Palestin di pekarangan masjid berkenaan, sebagai kemuncak kepada kekerasan selama seminggu di Kota Suci dan Tebing Barat.
Rakyat Palestin membaling batu, botol dan bunga api ke arah anggota polis yang melepaskan peluru getah serta bom tangan dalam kekacauan di tempat ketiga paling suci bagi umat Islam itu.
Sekurang-kurangnya 163 rakyat Palestin dan enam pegawai polis Israel dilaporkan cedera akibat kejadian itu, manakala Palang Merah Palestin melaporkan, sebuah hospital lapangan dibuka kerana wad kecemasan sudah penuh.
Kejadian serangan udara dilakukan Israel terbabit pula turut menyaksikan seorang komander kanan Hamas terbunuh, selain mencederakan 65 individu.
Serangan itu didakwa dilakukan sebagai tindak balas terhadap roket dilancarkan Hamas dan pejuang Palestin, susulan keganasan di pekarangan Masjid Al-Aqsa. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN