11 MEI: Kerajaan tidak akan melaksanakan moratorium menyeluruh secara automatik dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata begitupun bagi membantu peminjam, bank akan terus menawarkan bantuan bayaran balik kepada pelanggan yang memerlukan.
“Bank sudah tersedia dengan bantuan pembayaran balik termasuk moratorium bersasar yang ditawarkan kepada pelanggan yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan terjejas.
“Peminjam boleh menghubungi pelbagai saluran lain yang telah diwujudkan termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan BNM Telelink,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2021 secara maya hari ini.