11 MEI: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) kini meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia seawal 12 tahun.
Berikutan keputusan itu bermakna golongan berusia 12 hingga 15 tahun kini boleh diberikan suntikan dua dos vaksin berkenaan dengan proses vaksinasi akan dimulakan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Pembangunan Klinikal Pfizer, Dr William Gruber, berkata langkah kritikal selepas ini adalah mendapatkan kelulusan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
“Kami gembira vaksin ini akan diberikan kepada golongan 12 hingga 15 tahun secepat mungkin, untuk manfaat mereka bagi menghasilkan imuniti kelompok.
“Langkah kritikal selepas ini adalah mendapatkan kelulusan CDC. Ini merupakan vaksin yang patut disarankan dan mereka akan tentukan jika vaksin ini patut diberi kepada semua atau untuk keadaan tertentu sahaja.
“Harapan kami adalah ia akan digunakan bagi golongan berusia dari 12 hingga 15 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
USFDA mengisytiharkan vaksin Pfizer sebagai selamat berdasarkan ujian ke atas 2,000 remeja sebelum ini.
Kajian mendapati golongan usia berkenaan menghasilkan antibodi lebih tinggi daripada golongan dewasa.
Dengan kelulusan ini, Pfizer kini mohon kebenaran sama daripada Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara lain.
Pemberian vaksin bagi kumpulan umur lebih muda bagaimanapun masih dalam kajian.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.