12 MEI – Semenanjung Gaza semakin berdarah apabila angka korban akibat pertempuran antara Israel dan Hamas meningkat kepada 33 orang pada awal Rabu.
Daripada jumlah itu, 30 adalah rakyat Palestin dan bakinya tentera Israel manakala ratusan lagi cedera.
Tentera Hamas semalam, menembak roket ke pusat ekonomi Israel, Tel Aviv sebagai balasan terhadap serangan zionis menghancurkan blok menara di Gaza.
Rakyat Palestin melaporkan rumah mereka bergegar manakala langit merah menyala akibat serangan berterusan Israel.
Penduduk Ramat Gan dekat Tel Aviv, Haim Roy Ben Shlomo, 38, berkata ia amat menakutkan, selain terdengar beberapa tembakan atau ledakan kuat di atas kepalanya.
Ratusan roket dilancarkan Hamas juga menyebabkan warga Israel mencari perlindungan di komuniti lebih selamat.
Bagi Israel, sasaran terhadap Tel Aviv menimbulkan ketegangan baharu dalam konfrontasi dengan Hamas yang dianggap organisasi pengganas oleh Zionis dan Amerika Syarikat.
Pertempuran itu berlaku susulan keganasan di Baitulmuqaddis oleh tentera Israel di perkarangan Masjid Al-Aqsa, salah satu tempat suci bagi umat Islam, Jumaat lalu.
Pengusiran keluarga-keluarga Palestin dari rumah mereka di wilayah timur Baitulmuqaddis oleh Israel memburukkan ketegangan sedia ada.
Sehingga kini, kedua-dua masih berbalas serangan dan tiada pihak yang ingin mengalah.